SAAT TERBAIK UNTUK BERUBAH…

Kebelakangan ini kita melihat gejala sosial di kalangan remaja semakin membimbangkan. Terutamanya golongan remaja Melayu Islam. Dari kes buli, gangsterisme dan ponteng sekolah hinggalah kepada kes-kes berat seperti bunuh, dadah dan zina. Perkembangan ini saban hari dilihat seolah-olah tidak akan berhenti. Setiap hari ada sahaja kes-kes yang melibatkan golongan ini dipaparkan di media-media massa. Dan perkara ini juga tidak mengenal masa dan ketika, hinggakan di bulan Ramadan yang mulia ini juga kita masih terdengar akan kes-kes seperti ini.

Baru-baru ini juga dapat kita lihat bagaimana jauhnya remaja kita daripada agama di mana pihak berkuasa yang menjalankan operasi di sebuah kelab malam telah menangkap beberapa remaja perempuan Islam yang berhibur di situ dan mereka juga didapati meminum arak. Lebih menyedihkan ialah kerana perkara ini berlaku pada bulan Ramadan yang mulia.

Apabila kita melihat pada perkembangan-perkembangan terkini ini, seolah-olah cita-cita kita untuk membina generasi harapan yang akan kembali menegakkan Islam di tanah air kita terlalu jauh. Remaja yang suatu hari nanti akan menjadi pelapis kepada kepemimpinan negara dilihat seolah-olah tiada agenda perjuangan dalam diri mereka. Jatidiri yang terlalu lemah sehingga timbul persoalan dalam diri kita, “Orang yang seperti inikah yang kita mahu untuk memimpin negara kita.?” Jawapan bagi persoalan ini tentulah tidak. Tapi memang mudah untuk berkata-kata berbanding untuk bekerja. Dan perkara ini tidak akan selesai dengan hanya berkata-kata, debat sana-sini, buat bengkel itu dan ini tanpa disertai dengan usaha dan pelaksanaannya.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu hinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka”. Adakah mustahil untuk kita melihat senario yang berlaku di kalangan remaja melayu Islam pada hari ini berubah menjadi baik, menemui jalan penyelesaiannya atau berjaya keluar daripada masalah yang seolah-olah tiada penghujungnya? Sesungguhnya ketahuilah perkara ini tidak mustahil. Kerana Allah telah berjanji melalui ayat di atas bahawa perubahan itu boleh berlaku. Tapi ada syaratnya. Apakah syaratnya? Iaitu ia perlu bermula dengan diri kita sendiri. Dan janji Allah adalah pasti.

Pembaca yang dikasihi sekalian, jawapan bagi masalah ini telah kita ketahui. Tapi bagaimana untuk kita mulakan perubahan ini. Apa yang perlu kita ubah? Kita perlu mengubah dalaman kita dahulu. Seperti sebatang pokok, jika kuat akarnya maka kukuhlah ia tatkala angin ribut datang melanda. Proses untuk berubah ini pasti akan diuji. Maka bagi yang lemah, kadang kala baru hendak mula berubah sudah berputus asa dan kembali kepada sikap yang lama. Dengan itu, perubahan kita harus bermula dari dalaman kita iaitu keimanan kita, aqidah kita yang mana ia merupakan tunjang dan ruh kepada seluruh jasad kita. Seperti hadis nabi s.a.w., “Sesungguhnya dalam jasad manusia ada seketul daging, sekiranya ia baik, maka baiklah keseluruhan jasad itu, dan sekiranya ia buruk, maka buruklah keseluruhan jasad itu. Dan ketahuilah bahawa daging itu adalah hati” – Riwayat Bukhari.

Ibarat sebuah kereta yang cantik namun jika pemandunya tidak pandai mengawal nescaya kereta itu akan hancur dan rosak. Begitulah peranan hati kita. Hatilah yang mengawal segala gerak laku kita, segala pemikiran kita, segala tutur bicara kita. Jika hati kita bersih, dekat dengan Allah nescaya segala yang lahir dari hati itu adalah perkara-perkara yang disukai Allah. Dan begitulah sebaliknya jika hati kita kotor, nescaya apa yang lahir dari hati itu adalah perkara-perkara yang dibenci Allah. Walaupun luaran kita nampak sihat, kemas dan bersih, akan tetapi jika hati kita kotor maka hanya tunggu masa sahaja untuk kita jatuh ke lembah kehinaan.

Anda seorang yang beruntung dan bertuah sekiranya anda sedang membaca artikel ini. Kerana ini bermakna anda masih berpeluang dan masih sempat merasai nikmat bertemu bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan. Sekiranya anda sedang termenung dan berfikir langkah untuk mengubah diri, inilah saat dan waktu yang terbaik untuk anda memulakan langkah perubahan itu. Peluang dan kesempatan ini hanya ada sekali setahun, jika di bulan-bulan yang lain anda susah untuk melakukan perubahan, ambillah kesempatan dengan keberkatan dan janji-janji Allah yang ada pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Kalaulah seorang perokok yang tidak mampu manahan ketagihan merokok selama 11 bulan dapat menahan dari merokok pada bulan Ramadan,  maka anda juga boleh untuk melakukan perubahan. Dengan syarat, anda ada cita-cita dan keinginan yang tinggi untuk berubah. Jika di bulan yang mana pintu rahmat Allah dibuka seluas-luasnya ini anda tidak mampu untuk mengubah diri anda, lebih sukar untuk anda mengubah diri di bulan-bulan yang lain.

Dengan amalan puasa yang kita lakukan, insyaAllah dapat membina hati kita untuk lebih dekat dengan Allah. Merasakan Allah sentiasa mengawasi kita. Dengan ibadah-ibadah seperti tilawah Quran dan juga qiamullail di malam hari dapat menundukkan nafsu kita yang selama ini kita sering tewas kepadanya. Sama-samalah kita ambil kesempatan ini untuk membina ketakwaan dalam diri kerana ia adalah kunci untuk perubahan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa seperti yang difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertakwa” – Al-Baqarah: 183.

Dan satu lagi berita gembira yang sepatutnya memberi kita motivasi dan perangsang untuk kita melakukan perubahan ialah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Bayangkan segala kesalahan dosa yang kita lakukan secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, secara sedar atau tidak, semuanya Allah ampunkan. Kita seolah-olah menjadi kain yang putih bersih. Alangkah beruntungnya. Moga kita tergolong dalam golongan itu. Dengan itu insyaAllah langkah untuk kita berubah akan dimudahkan. Dengan berubahnya kita, insyaAllah suatu hari nanti nasib umat juga berubah. Amin ya Rab.

Tinggalkan komen

Filed under Ramadan, Tazkirah dan peringatan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s