Seminar Kerjaya KRIM Gombak dedahkan pelajar dengan peluang kerjaya

Sungai Pusu, 20 Jun – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Cawangan Gombak dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak telah berjaya menganjurkan Seminar Kerjaya yang bertempat di SMK Sungai Pusu yang telah disertai oleh 34 sekolah dari kawasan Gombak dengan kehadiran pelajar mencecah seramai 180 orang bakal calon SPM 2009.


Wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) turut bekerjasama dengan menyediakan buku panduan kemasukan ke universiti dan informasi terbaharu tentang jurusan-jurusan yang ditawarkan buat rujukan para pelajar setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, seminar ini turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan I System yang turut membuka ruang pameran mereka dengan pelbagai peluang untuk melanjutkan pelajaran yang ditawarkan.

Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan dari Pengarah KRIM Gombak, Muhammad Farid bin Hussin. Encik Abdul Azis Ismail, Pegawai HEM PPD Gombak mewakili Puan Pegawai Pelajaran Daerah Gombak telah menyempurnakan perasmian Seminar Kerjaya ini. Dalam ucapannya, beliau menyarankan para pelajar supaya memanfaatkan sepenuhnya daripada program ini kerana rentak kerjaya pada masa kini telah banyak berubah di mana para pelajar mesti mengetahui kelayakan minima yang diperlukan untuk sesuatu bidang selaras dengan kemampuan pelajar itu sendiri. Beliau menegaskan usaha yang berterusan sangat penting untuk pelajar berjaya dalam bidang yang diceburi. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak KRIM Gombak dan SMK Sungai Pusu selaku tuan rumah yang sudi menganjurkan program sebegini.

Majlis diteruskan lagi dengan pembentangan bertajuk “Halatuju selepas SPM” yang disampaikan secara berkesan oleh Prof Syed Ahmad Aljunid dari UiTM Shah Alam. Beliau menasihati para pelajar supaya melakukan persediaan yang awal untuk mengelak daripada menyesal di kemudian hari. Menurut beliau lagi, peluang pekerjaan pada zaman sekarang terbuka luas dalam pelbagai lapangan dimana pelajar harus bijak mengenalpasti peluang yang ada. Beliau turut berkongsi dengan para pelajar kisah kejayaan tokoh – tokoh terdahulu yang harus dijadikan suntikan motivasi buat para pelajar.

Pada sebelah tengah hari pula, forum perkongsian pengalaman belajar dan kerjaya diaadakan di mana ahli-ahli panel rata-ratanya merupakan bekas pelajar yang baru menamatkan pengajian mereka di luar negara meliputi bidang kejuruteraan, farmasi dan agama. Forum ini telah dikendalikan oleh saudara Ibrahim bin Hassan, pelajar jurusan Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ternyata ahli-ahli panel begitu teruja menceritakan pengalaman masing-masing dan memberikan tips-tips yang berguna seperti persediaan menghadapi temuduga melanjutkan pelajaran.

Seminar setengah hari ini berakhir dengan upacara penutup daripada Puan Nor Aidah selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Sungai Pusu. Dalam ucapan penutup, beliau melakarkan penghargaan terhadap pihak-pihak yang menjayakan program ini secara langsung dan tidak langsung.


Penganjuran Seminar Kerjaya pada kali ini dilihat sebagai sumbangan bermakna yang mampu dilakukan oleh badan bukan kerajaan sebagai khidmat sosial untuk pembangunan masyarakat setempat. Pelajar pada masa kini perlu dididik agar mempunyai wawasan yang jauh agar negara tidak ketandusan dalam melahirkan tokoh-tokoh terbilang pada masa hadapan yang mampu memberi sumbangan bermakna terhadap agama, bangsa dan negara. Dengan adanya program seumpama ini, pelajar mampu membuka minda mereka terhadap peluang-peluang yang tersedia yang harus dimanfaatkan mereka sebaiknya.

M Afiq Ibrahim,
ISMA Gombak

Tinggalkan komen

Filed under Aktiviti, info krim GOMBAK, Program di SEKOLAH, Seminar dan Kem Akademik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s