Rebutlah Ganjaran Sepuluh Malam Terakhir

Kita semakin hampir memasuki fasa sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Semoga hari-hari yang berlalu di bulan ini telah kita manfaatkan sebaiknya dan semoga segala amalan yang kita lakukan diterima dan diredhai Allah Taala.

Lailatul Qadar

Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadhan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredhaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis riwayat Muslim)

Keistimewaan Lailatul Qadar diserikan lagi dengan penurunan wahyu al-Quran untuk pertama kalinya kepada Rasulullah (s.a.w) sewaktu Baginda berada di Gua Hira. Selepas itu al-Quran mula diturunkan secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah al-Mukarramah dan 10 tahun lagi di Madinah al-Munawwarah. Peristiwa bersejarah penurunan al-Quran diabadikan Allah Taala di dalam helaian al-Quran.

Antaranya firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5).

Ulama’ bersepakat bahawa malam Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan. Majoriti ulama’ juga bersepakat bahawa malam tersebut berlaku pada salah satu dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

Dari Aisyah (r.a) bahawa dia mengatakan, aku bertanya: “Ya Rasulullah, kalau aku bertepatan dengan malam Qadar, maka apakah yang patut aku baca? Jawab Rasulullah (s.a.w): Ucapkanlah:

Ertinya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku.”

Justeru, ayuhlah sama-sama kita berusaha dan berdoa agar dipertemukan dengan malam yang sungguh mulia ini.

Iktikaf

Di dalam sebuah hadis daripada Aishah (r.a) yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim, bermaksud: “Bahawa Rasulullah beriktikaf pada sepuluh hari akhir sampai Baginda wafat.”

Iktikaf amat dituntut untuk dilaksanakan terutamanya pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Iktikaf bermaksud duduk di dalam masjid sebagai ibadat yang disunatkan dengan niat iktikaf. Sangat banyak ibadah yang boleh kita lakukan semasa beriktikaf di dalam masjid. Antaranya ialah melakukan sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan mendengar pengajian agama.

Iktikaf bertujuan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Taala serta menyucikan hati yang sering lalai dari mengingati-Nya. Apa yang penting ialah keikhlasan kita untuk kembali kepada Allah Taala dengan membuang segala tingkahlaku salah yang kita lakukan selama ini serta berazam untuk melakukan segala perintah-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Akhir kalam, semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik dan anggaplah kita tidak akan bertemu Ramadhan yang akan datang. Oleh itu lakukanlah ibadah dengan penuh keikhlasan, tawaduk dan bersungguh-sungguh.

1 Komen

Filed under Ramadan, Tazkirah dan peringatan

One response to “Rebutlah Ganjaran Sepuluh Malam Terakhir

  1. armadrafar

    semoga bertemu lagi ramadhan….
    ganjaran pahala yg tiada bandingan di bulan ini….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s