Akhlak Muslim Sebagai Sahabat

Di Bawah Naungan Allah

Adalah suatu yang amat bernilai bahkan barangan yang jarang ditemui jika anda menjadi seorang sahabat kepada seseorang yang hanya diikat dengan ikatan akhirat, bukan ikatan dunia, ikatan syurga bukan manfaat. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabda baginda:

رجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه.

Maksudnya: “Dua orang lelaki yang saling berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah. Mereka bertemu dan berpisah hanya kerana Allah.”

Bahkan Rasulullah saw menjadikan sahabat yang salih sebagai hadiah pemberian dan tanda yang menunjukkan Allah kasih kepada seseorang hamba. Sabda Rasulullah saw:

إذا أحب الله عبدا رزقه الله أخا صالحا. إن ذكر الله أعانه، وإن نسي ذكره.

Maksudnya: “Jika Allah mengasihi seseorang hamba, maka Dia akan berikan kepadanya seorang saudara atau sahabat yang salih. Jika dia sudah mengingati Allah (tidak lalai), sahabatnya akan membantunya (dalam ketaatan kepada Allah) dan jika dia terlalai, sahabatnya itu akan mengingatkannya.”

Kami membisikkan ke telinga anda, sama ada anda suka untuk berada di bawah naungan arasyh Allah atau anda ingin membawa tanda yang menunjukkan kecintaan Allah terhadap anda.

Beberapa Perkataan

Oleh kerana perkara ini amat penting, maka ia mestilah sentiasa diperingatkan dan diberikan amaran. Peringatan dan amaran paling baik boleh didapati daripada golongan salafussoleh yang terlebih dahulu telah melalui jalan Islam ini.

Abdullah bin Mas‘ud berkata: “Tiada suatu perkara yang lebih menunjukkan kepada sesuatu bahkan lebih daripada asap yang menunjukkan kepada kewujudan api, lebih daripada seorang kawan kepada seorang kawannya.”

Beberapa orang ulama salaf berkata: “Perbanyakkanlah kawan-kawan anda, kerana setiap orang beriman mempunyai syafaatnya.”

Umar bin al-Khattab berkata: “Engkau hendaklah berkawan dengan kawan-kawan yang benar. Engkau hidup di bawah lindungan mereka. Mereka adalah perhiasan ketika mewah dan sandaran ketika bencana.”

Sesetengah mereka berkata: “Jika bukan kerana tiga perkara ini, nescaya aku tidak suka untuk terus tinggal di atas dunia; membaca al-Quran, qiyamullail dan bertemu para sahabat.”

Bahaya Kematian

Ini adalah jeritan amaran dan peringatan agar anda tidak tergelincir bersama-sama dengan kawan-kawan yang tidak baik serta ahli maksiat yang akan mengakibatkan anda mendapat kesudahan hidup yang tidak baik.

Pernah berlaku bagaimana ‘Uqbah bin Abi Mu‘ait hampir-hampir memeluk Islam dan mengisytiharkan keislamannya, tetapi oleh kerana sahabat baiknya bersumpah tidak akan bercakap lagi dengannya melainkan selepas ‘Uqbah meludah ke muka Nabi saw. Mendengarkan demikian, ‘Uqbah langsung pergi kepada Nabi saw dan meludah ke muka baginda. Dia juga meletakkan kakinya di atas tengkuk Nabi saw, bahkan lebih daripada itu, dia meletakkan perut unta di atas belakang Nabi saw ketika baginda sedang sujud. Semua ini beliau lakukan demi menggembirakan sahabat baiknya itu. Lalu Allah swt menurunkan firmanNya dalam surah al-Furqan, ayat 27-29):

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَالَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلاً. يَاوَيْلَتِي لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلاَنًا خَلِيلاً. لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإنسَانِ خَذُولا.ً

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”

Oleh itu wahai saudaraku! Berhati-hatilah! Semoga anda dirahmati Allah.

Hak-hak Persahabatan

Neraca persahabatan ialah dengan anda mengenali hak-haknya untuk anda menunai dan memenuhinya kepada sahabat anda, bukan untuk menuntutnya daripada sahabat anda. Firman Allah swt dalam surah al-Waqi‘ah ayat 10:

وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ

Maksudnya: “Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak).”

Antara hak-hak persahabatan ialah:

• Hendaklah anda memberitahunya bahawa anda mengasihinya kerana Allah, sebagaimana digesa oleh Rasulullah saw di dalam sebuah hadis:
إذا أحب أحدكم أخاه فليخبره.

Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mengasihi saudaranya, maka dia hendaklah memberitahu saudaranya itu.”
• Sentiasa mendoakan kebaikan bagi sahabatnya ketika keseorangan. Sabda Rasulullah saw:

ما من عبد مسلم يدعو لأخيه بظهر الغيب إلا وملك قائم على رأسه يقول آمين ولك بمثل. وفي رواية فهو مستجاب.

Maksudnya: “Setiap hamba muslim yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya ketika keseorangan pasti akan ada satu malaikat yang berdiri dekat kepalanya dan berkata: “Semoga Allah memperkenankan permohonanmu dan engkau juga akan mendapat seumpamanya.” Dan dalam satu riwayat lain: “Maka ia adalah doa yang mustajab.”
• Sentiasa memaafkan. Sabda Rasulullah saw:

التمس لأخيك سبعين عذرا، فإن لم تجد فقل لعل له عذرا.

Maksudnya: “Hendaklah engkau mencari 70 alasan bagi saudara engkau. Jika tidak ada, maka hendaklah anda berkata, mungkin dia mempunyai keuzuran.”

Anda hendaklah mengingati kemaafan yang diberikan oleh Bilal kepada Abu Zarr. Alangkah perlunya kita kepada sifat tersebut.
• Menolong dan membantunya sama ada dari sudut kebendaan dan maknawi.
• Menutup dan memelihara rahsia, keaiban dan keterlanjurannya. Sabda Rasulullah saw:

كل المسلم على المسلم حرام: دمه وماله وعرضه.

Maksudnya: “Setiap muslim ke atas setiap muslim yang lain adalah haram, darah, harta dan kehormatannya.”

Sebaik-baik Sahabat

Hak paling besar yang boleh digunakan untuk menguji kesetiaan seseorang sahabat terhadap sahabatnya ialah pada masalah harta kerana dunia dan kemewahannya boleh berubah kepada sesiapa sahaja.

Sesiapa yang sanggup memberikan bantuan harta kepada sahabatnya yang sedang mengalami kesusahan, maka dia adalah sebaik-baik sahabat, tetapi dengan syarat bantuan itu diberikan dalam perkara kebaikan sahaja, bukan lainnya.

Fathi al-Mawsili dan ‘Isa al-Tammar adalah dua orang sahabat yang baik. Pada suatu hari, Fathi datang ke rumah ‘Isa tetapi ‘Isa tidak ada di rumah. Lalu Fathi berkata kepada hamba perempuan ‘Isa: “Keluarkanlah uncang duit saudaraku.” Lalu hamba tersebut mengeluarkannya dan Fathi mengambil dua dirham daripada uncang tersebut. Kemudian setelah ‘Isa pulang ke rumah, hambanya memberitahu tentang apa yang berlaku, lalu ‘Isa berkata: “Jika benar apa yang engkau katakan, maka engkau aku merdekakan!” Oleh kerana hambanya itu memang bercakap benar, maka dia dimerdekakan.

Beberapa buku sejarah mencatatkan bahawa pada Perang Yarmuk, Khalid menjumpai ‘Ikrimah sedang nazak menghadapi kematian. Khalid bertanya tentang hajatnya yang terakhir. ‘Ikrimah menjawab: “Berikan aku seteguk air.” Sebelum sempat meminum air tersebut, dia terdengar suara rintihan salah seorang saudaranya yang kesakitan, lalu meminta Khalid memberikan air itu kepada saudaranya itu. Khalid pergi untuk memberikan air itu kepada orang tersebut, tiba-tiba orang tersebut mendengar seorang lagi merintih kesakitan lalu dia meminta supaya air itu diberikan kepada orang tersebut. Khalid pergi untuk memberikan air itu kepadanya, tetapi dia sudah meninggal dunia bahkan ketiga-tiga mereka kesemuanya meninggal dunia tanpa seorangpun sempat meminum air tersebut meskipun masing-masing amat berhajat kepadanya!!!

Janganlah Anda Bersahabat Dengan Syaitan

Tugas syaitan ialah menyeru kepada kemungkaran dan kejahatan kemudian kepada neraka… Firman Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 38:

وَمَنْ يَكُنْ الشَّيْطَانُ لَهُ قَرِينًا فَسَاءَ قَرِينًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.”

Maka kawan yang mempedaya kawannya dengan memberikan rokok, dadah, filem-filem lucah dan lain-lain, maka dia bukanlah seorang kawan sebenarnya. Orang yang mengajar bagaimana anda mengusik perempuan yang tidak halal bagi anda atau yang mengajar anda bagaimana berchatting dan mempunyai kawan melalui internet sedangkan chatt adalah dusta sebenarnya…
Demi Allah! Kawan seumpama ini yang mempengaruhi sedikit demi sedikit untuk melakukan kejahatan-kejahatan di atas… Bukankah dia layak untuk disifatkan sebagai syaitan!
Jika demikian, marilah sama-sama kita mengingati firman Allah swt dalam surah al-Zukhruf ayat 67:

الأَخِلاَّءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلاَّ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”

Kewajipan Praktikal

• Hendaklah anda menjadi seorang yang bergaul dengan masyarakat dan berkenalan dengan setiap orang yang anda jumpai.
• Neraca persahabatan ialah akhlak Islam, tidak lainnya.
• Pilihlah orang yang anda kenali dan tentukan siapakah orang-orang yang anda mahu bersahabat dengannya, serta anda hendaklah teliti di dalam membuat pemilihan.
• Rapatkanlah hubungan anda dengan orang yang anda pilih untuk dijadikan sahabat dan beritahu kepadanya bahawa anda mengasihinya kerana Allah sebagaimana diajarkan oleh Rasulullah saw.
• Berdoa kepada Allah sentiasa untuk kebaikan sahabat-sahabat anda dan supaya Allah menjadikan persahabatan anda sentiasa berlangsung dalam perkara-perkara kebaikan sahaja.
• Hendaklah anda sentiasa berhati-hati kepada semua orang yang berada di sekitar anda terutamanya kawan-kawan yang tidak baik. Sentiasa menapis apakah yang mereka suruh anda lakukan, perhatikan ke mana mereka selalu pergi dan apakah bahan yang mereka minta anda baca dan saksikan.

Terjemahan: Ust Anwar Fakri

Advertisements

2 Komen

Filed under akhlak islamiah, Ibadah yang SEMPURNA, Sirah salafussaleh, Tazkirah dan peringatan

2 responses to “Akhlak Muslim Sebagai Sahabat

  1. masyallah.. ahsanti.. bleh ana copyright x? insyallah ana sebarkan kpd banin banat isma di sek.. muge2 kite punye teman yg bisa pahut diri kita tatkala kabur dengan nikmat ALLAH…

  2. Insya Allah boleh. Ilmu yang bermanfaat adalah yang disampaikan kepada orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s